Amerika Utara

Anak fobia kerana si bapa

Oleh Agensi

Washington: Seorang lelaki fobia untuk menggunakan aplikasi temu janji berikutan bimbang dipadankan dengan adik-beradiknya selepas mengetahui bapanya menjual sperma sebanyak 500 kali.

The Sun melaporkan Zave Fors, 24, dari Portland, Oregon sudah berjaya mengesan lapan adik-beradiknya setakat ini dan masih tidak mengetahui berapa ramai darah dagingnya yang lain.

Keadaan itu menimbulkan ketakutan kepadanya sekiranya melakukan hubungan intim dengan wanita dalam aplikasi itu.

Zave terkejut selepas mengetahui abangnya berada di sekolah yang sama dengannya selepas menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Dia kemudiannya berjaya mengesan bapanya melalui Ancestry.com, di mana dia mendapati ayah kandungnya menjual spermanya beratus-ratus kali dalam tempoh 10 tahun.

Hasilnya, sperma bapanya berjaya menghasilkan 50 anak.

Abangnya, Daron McClennan-Colon hanya mengetahui dia adalah anak yang dikandung melalui sperma bapanya dan tinggal beberapa kilometer dari rumah Zave.

Zave dan Daron mempunyai kenangan antara satu sama lain di sekolah tanpa menyedari kehidupan mereka saling berkaitan.

"Adik-beradik yang lain pun mempunyai pengalaman serupa. Dua daripada mereka tinggal di kawasan kejiranan sama.

"Tidak diketahui berapa ramai adik-beradik saya dan keadaan ini merosakkan kehidupan temu janji saya.

"Ketika melayari aplikasi Tinder, saya tidak tahu siapa yang berkaitan dengan saya atau tidak," katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2021 @ 7:25am
d