Amerika Utara

AS tahan isteri ketua kartel dadah Mexico, El Chapo

Oleh AFP

Washington: Isteri kepada ketua kartel dadah Mexico yang dipenjara di Amerika Syarikat (AS), Joaquin "El Chapo" Guzman ditahan oleh pihak berkuasa AS.

Jabatan Kehakiman AS dalam satu kenyataan berkata, Emma Coronel Aispuro, 31, ditahan di Lapangan Terbang Dulles di luar Washington, pada Isnin.

Ia berhubung dakwaan konspirasi pengedaran kokain, methamphetamine, heroin dan ganja untuk diimport ke AS.

Guzman adalah ketua kepada kartel Sinaloa, antara kumpulan pengedaran dadah paling berbahaya.

Lelaki itu menghantar ratusan tan dadah ke AS dan di belakang banyak kes pembunuhan individu yang cuba menghalangnya, menurut dokumen mahkamah.

Dia diekstradisi ke AS pada 2017 untuk dibicarakan, sebelum didapati bersalah dan dijatuhi hukuman sepanjang hayat, dua tahun kemudian.

Menurut Jabatan Kehakiman AS, Coronel, turut terbabit dengan aktiviti kartel itu dan membantu dua komplot untuk membantu Guzman melarikan diri dari penjara di Mexico, dengan satu daripadanya berjaya pada 2015.

Sebelum ini, tidak diketahui bahawa AS berniat untuk menahan wanita itu.

Coronel memiliki dua kewarganegaraan iaitu AS dan Mexico dan mempunyai anak kembar dua yang berbapakan Guzman.

Coronel tampil setiap hari ketika suaminya dibicarakan selama tiga bulan di New York, sebelum ini.

Dia juga dilarang daripada akses untuk menghubungi suaminya selama lebih dua tahun, sebelum proses pra-perbicaraan Guzman.

Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 9:51am
d