Amerika Utara

Covid-19: Individu maut di AS lepasi 500,000

Oleh AFP

Washington: Angka kematian korban akibat Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) melepasi 500,000 orang.

Presiden Joe Biden mengarahkan bendera diturunkan separuh tiang bermula Isnin lalu.

"Saya tahu bagaimana rasanya," kata Biden yang emosional dalam ucapan di televisyen merujuk kepada hari memilukan itu.

"Saya meminta semua orang untuk mengingati orang yang kita hilang dan mereka yang ditinggalkan.

"Malah, saya juga meminta kita untuk bertindak, berwaspada, mengamalkan penjarakan sosial, pelitup muka dan mendapat vaksin," katanya.

Biden ditemani isterinya, Jill dan Naib Presiden Kamala Harris dan suami, Doug Emhoff, kemudian berdiri di luar Rumah Putih.

Bendera diturunkan separuh tiang di Rumah Putih, bangunan persekutuan seluruh negara serta di kedutaan seluruh dunia.

"Sebagai sebuah negara, kita tidak boleh membiarkan ini terus berlarutan.

"Kita harus memerangi ini bersama-sama," katanya.

Di Britain, Perdana Menteri Boris Johnson mengeluarkan arahan kepada tahap berjaga-jaga.

Langkah pertama dengan membenarkan kanak-kanak dapat ke sekolah mulai 8 Mac.

Terdapat juga berita baik dari kajian University of Edinburgh yang mendapati vaksinasi Pfizer dan Oxford-AstraZeneca menyebabkan "pengurangan besar" kemasukan Covid-19 ke hospital di Scotland.

Walaupun terdapat kehilangan besar di Amerika Syarikat, aliran di sana juga menurun secara mendadak.

Rochelle Walensky, pengarah Pusat Kawalan Penyakit, mengatakan kematian AS berada pada tahap terendah sejak Disember dengan penurunan 39 peratus dalam purata kes baru harian untuk tujuh hari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 10:29am
    d