Amerika Utara

AS lulus vaksin Pfizer boleh disimpan dalam penyejuk beku biasa

Oleh AFP

Washington: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan vaksin Covid-19 Pfizer boleh disimpan pada suhu seperti penyejuk beku farmaseutikal biasa, sehingga tempoh dua minggu.

Langkah itu untuk melonggarkan syarat sebelum ini bahawa vaksin itu perlu disimpan pada suhu ultra-rendah, antara -80 darjah Celsius dan -60 darjah Celsius.

"Suhu alternatif untuk pengangkutan dan simpanannya itu diharap dapat membantu mengurangkan beban untuk mendapatkan alat kelengkapan simpanan suhu ultra-rendah, dan membantu menghantar vaksin itu ke lebih banyak tempat," kata Peter Marks, pengarah Pusat FDA bagi Penilaian Biologik dan Kajian.

FDA berkata, pihaknya akan mengemas kini kertas fakta kepada penyedia perkhidmatan kesihatan susulan ketetapan terbaharu itu.

Penyejuk beku farmaseutikal biasa lazimnya beroperasi pada suhu -20 darjah Celsius.

Langkah itu selepas Pfizer mengemukakan permohonan berdasarkan kajian kepada kestabilan vaksin itu di bawah suhu lebih hangat.

Vaksin Pfizer adalah teknologi terbaharu yang menggunakan mRNA sintetik (asid ribonukleik pengutus) yang menghantar arahan genetik kepada sel manusia untuk membina sebahagian daripada koronavirus.

Molekul mRNA berada dalam partikel lemak untuk melindunginya, tetapi ia mudah terurai lebih cepat berbanding vaksin biasa dan oleh itu, memerlukan simpanan suhu ultra-rendah.

Sebaik dinyah sejuk beku, ia boleh disimpan dalam peti ais dengan suhu antara dua dan lapan darjah Celsius, sehingga lima hari.

Ia boleh disimpan pada suhu bilik untuk tempoh tidak lebih dua jam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 9:09am
    d