Amerika Utara

Ajal ketika kuarantin

Oleh Agensi

St Louis: Pilu hati seorang anak apabila menemui ibu bapanya yang sedang menjalani kuarantin di ruang bawah tanah rumah mereka di Missouri, Amerika Syarikat (AS), sudah meninggal dunia.

Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu hanya menyedari kematian Gregory dan Erika Greenman selepas dia turun ke ruang berkenaan untuk memantau keadaan kesihatan ibu bapanya itu.

Bagaimanapun, dia mendapati ibu bapanya di ruang tidur di situ sudah tidak bernyawa.

Difahamkan, pasangan berkenaan meninggal dunia dipercayai kerana komplikasi akibat Covid-19.

Menurut jiran kepada pasangan itu, keluarga itu baru berpindah di kawasan berkenaan dan hanya mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun.

"Kehilangan ibu bapa ketika waktu sukar ini amatlah menyedihkan terutama kepada anak berusia 11 tahun," kata Chuck Duy seperti dilaporkan portal The Sun.

Katanya, walaupun baru berpindah, keluarga berkenaan pernah menghantar makanan kepadanya ketika sambutan Krismas pada Disember tahun lalu.

"Mereka jiran yang baik dan kami berdoa untuk anak perempuannya dan keluarga berkenaan," katanya.

Duy berkata, jiran tidak menolak kemungkinan pasangan itu diserang strok.

Beliau berkata, pasangan itu sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital selepas disahkan positif Covid-19, namun diminta untuk menjalani kuarantin di rumah.

Dalam pada, seorang wanita yang mendakwa kakak kepada Erika memuat naik satu hantaran di Facebook yang mengesahkan kematian pasangan itu.

"Doakan keluarga kami. Kami kehilangan adik perempuan dan suaminya. Ini adalah hari yang amat menyedihkan," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 6:40am
d