Amerika Utara

Hadiah hari jadi istimewa buat guru

Oleh Agensi

Washington: Seorang guru ganti menerima hadiah hari jadi istimewa daripada anak muridnya, cek benilai AS$27,000 (kira-kira RM111,200).

Jose Villarruel, 77, tinggal di dalam kereta sejak Mei tahun lalu, berkhidmat sebagai guru ganti sejak puluhan tahun lalu.

Dia menamatkan khidmatnya selepas sekolah melaksanakan pengajian secara dalam talian awal tahun lalu.

Anak muridnya, Steven Nava, 21, memutuskan untuk mengadakan sambutan dan kejutan untuk Villarruel yang dikenali sebagai Mr V, lapor fox29.com.

Dia terserempak dengan Villarruel minggu lalu dan masih mengenalinya.

"Saya selalu nampak dia dan itu membuatkan saya terfikir untuk mengetahui keadaannya sekarang.

"Saya sangat terkesan dengan wabak ini dan bagaimana ia menyebabkan seorang guru tidak mempunyai pekerjaan.

"Sangat menyedihkan apabila melihat guru anda sendiri yang melaluinya sehingga hanya membuat anda ingin membantu lebih banyak lagi," katanya.

Nava pada mulanya memberi Villarruel AS$300 (kira-kira RM1,235) dan kemudian memutuskan untuk mencari dana melalui GoFundMe bagi membantu Villarruel dapat menjalani hidupnya semula.

Dia berkongsi di semua platform media sosial, dan menjadi tular di TikTok dengan lebih daripada 1.7 juta tontonan.

"Kuasa media sosial sangat luas dan ada ketikanya kita perlu menggunakannya untuk kebaikan, bukan sebaliknya," katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2021 @ 6:01am
d