Amerika Utara

Beli salad, dapat ular

Oleh Agensi

Sydney: Satu pasangan di Sydney, Australia terkejut apabila menemui ular berbisa di dalam bungkusan salad yang dibeli di pasar raya.

Ular spesies hoplocephalus bitorquatus itu berada di dalam bungkusan salad yang diletakkan di rak pasar raya berkenaan.

Bungkusan itu dibeli Alexander White dan pasangannya, Amelie Neate, pada Isnin lalu sebelum dimasukkan ke dalam beg galas.

The Guardian melaporkan, mereka hanya sedar bungkusan itu mengandungi ular selepas pulang dan membuka beg itu.

"Ia bergerak dan menjelirkan lidah. Sebenarnya, lidahnya menyebabkan saya tahu ia bukan cacing besar," kata White.

Reptilia sepanjang 20 sentimeter itu tidak mengancam mereka dan berada di dalam beg galas dibawa White.

"Kami tidak ambil troli kerana kami tiada syiling, jadi kami meletakkannya dalam beg," katanya.

Mereka memanggil organisasi penyelamat hidupan liar Wires dan diberitahu ular itu antara spesies paling berbisa dan agresif di Australia.

Pakar ular memaklumkan pasangan itu bahawa ia dikenali sebagai ular berkepala pucat dan 'signifikan secara perubatan.'

"Saya sangka ia ada tujuan bagi perubatan. Rupa-rupanya ia bermaksud jika anda dipatuk, anda perlu segera ke hospital. Ia mematuk berulang kali apabila diganggu," kata Neate.

Dalam pada itu, pasangan berkenaan menganggap ular itu comel dan sempat merakam serta membuat panggilan video menunjukkannya kepada anak mereka yang berlibur sempena cuti sekolah.

Disiarkan pada: April 16, 2021 @ 7:30am
d