Amerika Utara

Waran tangkap kerana tak pulang pita video 22 tahun lalu

Oleh Agensi

Washington: Seorang wanita tersenarai sebagai 'penjenayah dikehendaki' hanya kerana gagal memulangkan pita sistem video rumah (VHS) sitkom Sabrina the Teenage Witch yang disewa 22 tahun lalu.

Portal The Guardian melaporkan, Caron McBride, 52, dari Oklahama itu ditahan pihak berkuasa.

Ia selepas dia memohon lesen memandu dengan menggunakan nama keluarga baharunya selepas berkahwin di Texas.

Dia diberitahu untuk menghubungi pejabat peguam Cleveland di Oklahoma sebelum kemudian dimaklumkan ada ada waran tangkap atas namanya,

Waran itu atas kesalahan gagal memulangkan pita VHS yang disewa pada 1999.

"Saya tidak pernah menonton sitkom itu sepanjang hidup saya dan berada dalam senarai individu dikehendaki seolah-olah saya penjenayah," katanya kepada Fox25.

McBride mengatakan dia tidak ingat sama ada pernah menyewa pita video dari sebuah kedai sewa pita VHS yang ditutup pada 2008.

Tetapi dia percaya perkara itu mungkin berlaku.

"Saya pernah tinggal dengan seorang lelaki lebih 20 tahun yang lalu.

"Dia mempunyai dua anak perempuan berusia lapan dan seorang lagi berumur 10 atau 11 tahun. Saya fikir dia pergi dan menyewa dan tidak memulangkan kembali," katanya.

- Agensi

McBride mengatakan dia pernah beberapa kali diberhentikan kerja dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini.

"Ini mungkin sebabnya, kerana ketika mereka memeriksa latar belakang rekod jenayah saya," katanya.

Jurucakap peguam daerah Cleveland memberitahu Fox25 pihaknya merancang untuk menggugurkan kes itu.

Disiarkan pada: April 28, 2021 @ 6:50am
d