Amerika Utara

Bayi 'ajaib' dibedah ketika dalam rahim

Oleh Agensi

Philadelphia: Seorang bayi di Amerika Syarikat bernasib baik apabila terselamat daripada lumpuh seumur hidup selepas menjalani prosedur pembedahan rumit ketika masih dalam rahim ibunya.

Emily Malkie dari Piennsylvania dikesan menghidap spina bifida menerusi ujian ultrabunyi sejak usianya dalam kandungan ibunya adalah 16 minggu.

Ujian pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mengesahkan pertumbuhan otak bayi perempuan itu dalam bahaya disebabkan pengumpulan cairan tulang belakang dalam tengkoraknya.

Ibunya, Rebecca,37, dipindahkan ke pakar janin, Hospital John Hopkins, Maryland untuk menjalani pembedahan rumit yang sudah puluhan kali dijalankan di seluruh dunia.

Kira-kira 30 pakar perubatan melakukan proses pembedahan rumit membuka rahim Rebecca untuk membetulkan tulang belakang bayi itu selama lapan jam.

Emily yang dilahirkan sempurna tanpa sebarang kecacatan pada 1 Ogos 2019 kini sihat seperti kanak-kanak seusianya.

Menurut Rebecca, anaknya itu menjalani kehidupan biasa sama seperti adik-beradiknya yang lain.

"Kami nekad mengambil risiko melakukan pembedahan itu ketika usianya masih dalam kandungan lagi kerana fikirkan yang terbaik buatnya.

"Ini sangat luar biasa dan kami sangat beruntung kerana dia sihat selepas menjalani pembedahan itu," katanya dalam portal News Chant.

Disiarkan pada: May 6, 2021 @ 6:30am
d