Amerika Utara

Nasib ratu dadah

Oleh Agensi

Washington: Dikenali dengan gaya hidup serba mewah, isteri ketua kartel dadah Mexico Joaquin 'El Chapo' Guzman Loera kini ditahan di sel kecil di Penjara William Truesdale di Alexandria.

BBC Indonesia melaporkan wanita itu, Emma Coronel Aispuro, 31, yang mendapat jolokan ratu sindiket dadah itu menghabiskan waktu dalam tahanan dengan membaca novel romantis.

Perkara itu didedahkan oleh peguamnya, Mariel Colon Miro untuk menggambarkan bagaimana daripada bergelar seorang ratu dan kini hidupnya hanya dalam sel kecil. Beberapa bulan lalu, Emma merancang melancarkan jenama fesyen El Chapo Guzman.

Di Mexico, pasangan itu dikenali dengan gaya hidup mewah dan anak perempuan mereka juga terjun ke dunia peragaan menggunakan nama bapanya.

"Ketika saya berbincang dengan Emma di New York ketika perbicaraan suaminya pada 2019, dia menggunakan perhiasan dan jam tangan mahal," kata Mariel.

Awal tahun ini, wanita itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles di Virginia dan didakwa membantu suaminya sebagai raja dadah antarabangsa kerana peranannya sebagai pemimpin Kartel Sinaloa.

El Chapo yang kini berusia 64 tahun menghabiskan waktunya di penjara Colorado dengan penjagaan maksimum selepas dihukum penjara seumur hidup.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyatakan Emma terbabit mengedarkan kokain dan membantu suaminya melarikan diri dari penjara di Mexico pada 2015.

Kisah peribadi wanita itu diungkap satu persatu bagaimana dia hidup dengan suaminya yang kaki perempuan, menghadapi wanita simpanan lelaki itu dan menjalankan perniagaan jenayah mereka.

Bagaimanapun, perbicaraan Emma belum diputuskan bila.

Sekiranya didapati bersalah, dia kemungkinan menghadapi hukuman penjara seumur hidup seperti suaminya Pakar analisis dalam pengedaran dadah mengandaikan peranan wanita itu bukan seperti wanita biasa.

Dia tokoh masyarakat, ahli perniagaan, sekali gus penjaga suaminya yang mengatur siapa yang boleh berjumpa dengan suaminya.

"Kebiasaannya, isteri pengedar dadah dilihat 'sangat seksi' dan tidak mempunyai kuasa," kata Cecilia Farfan-Mendez, pemerhati Universiti California di San Diego.

Bagaimanapun, Emma nampak berbeza kerana dia menunjukkan wanita boleh memegang kekuasaan.

Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 6:00am
d