Amerika Utara

Tiada tsunami berlaku di Alaska

Oleh AFP

Washington: Gempa bumi 8.2 magnitud yang melanda Alaska hari ini hanya mencetuskan ombak kecil dan tiada tsunami dilaporkan berlaku.

Semua amaran tsunami telah dibatalkan.

Gempa itu dikesan di 91 kilometer (km) di tenggara bandar Perryville, menurut Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS), dengan amaran tsunami yang berpotensi menjejaskan selatan Alaska, dan semenanjung Alaska.

Beberapa jam lalu, kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tsunami di tenggara Alaska yang dianggarkan berlaku dalam tempoh tiga jam selepas gempa dikesan.

"Tsunami berbahaya susulan gempa bumi ini boleh berlaku dalam tempoh tiga jam berikutnya di kawasan persisiran pantai," menurut Sistem Amaran Tsunami AS.

Perryville adalah kampung kecil terletak kira-kira 804 km dari Anchorage, bandar terbesar di Alaska.

Sebelum ini, gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 menyebabkan ombak tsunami berlaku di pantai tenggara Alaska pada Oktober.

Bagaimanapun, ia tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Alaska terletak dalam Lingkaran Api Pasifik yang mana aktiviti gunung berapi aktif dan gempa bumi sering berlaku.

Pada 1964, Alaska dilanda gempa bumi kuat bermagnitud 9.2, terkuat pernah direkodkan di Amerika Utara.

Ia menyebabkan kerosakan teruk di Anchorage dan mengakibatkan tsunami yang melanda Teluk Alaska, pantai barat AS, dan Hawaii.

Ia menyebabkan 250 orang terkorban.

Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 6:34pm
d