Amerika Utara

Klinik tertukar sperma dalam kaedah IVF

Oleh Agensi

Salt Lake City: Pasangan suami isteri di Utah, Amerika Syarikat (AS) terkejut anak mereka yang dilahirkan menerusi rawatan persenyawaan in vitro (IVF), rupa-rupanya berasal dari benih lelaki lain.

Kebenaran itu terbongkar selepas Donna dan Vanner Johnson melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap anak lelaki kedua mereka.

Pasangan dari Salt Lake City itu menjalani rawatan IVF di sebuah klinik IVF pada 2007 bagi membantu mendapatkan anak kedua mereka yang kini berusia 12 tahun.

Kira-kira 10 tahun selepas itu, pasangan itu melakukan ujian DNA yang kemudian membuktikan ayah kepada anak mereka itu.

Bercakap kepada ABC4.com, Vanner berkata, dia bingung selepas keputusan ujian DNA menunjukkan dia bukan ayah kepada anaknya.

"Ketika saya lihat keputusan ujian dan melihat isteri saya ibu kepada anak itu tetapi ayahnya tidak diketahui. Saya berfikir apa maksudnya? Saya ayahnya.

"Terlalu banyak emosi terpaksa kami lalui termasuk memisahkan kasih sayang terhadap anak kami yang tak pernah berubah.

"Apa yang berlaku? Kenapa sampai macam ini sekali. Apa yang harus kami lakukan," katanya.

Akhirnya, kebenaran terbongkar rupanya klinik itu secara tidak sengaja memasukkan sperma lelaki lain ke sel telur milik Donna.

Selepas berbincang, pasangan itu memutuskan mencari ayah kandung anak itu menerusi daftar masuk pada hari sama mereka ke klinik itu.

Dalam pada itu Daily Star melaporkan pasangan itu sudah bertemu lelaki berkenaan.

Mereka bersetuju mengambil tindakan ke atas kecuaian klinik itu.

Disiarkan pada: August 30, 2021 @ 7:01am
d