Amerika Utara

Penonton jadi 'hero' sambut kucing terjatuh dari tingkat atas stadium

Oleh Agensi

Miami: Seekor kucing yang tergelincir dari tingkat atas sebuah stadium menarik perhatian ramai selepas terjatuh di atas kain bendera bersaiz besar yang dipegang beberapa penonton di Miami, Amerika Syarikat (AS).

Kucing itu tidak mengalami sebarang kecederaan selepas haiwan itu terlebih dahulu bergayut pada wayar yang terletak pada dinding tingkat atas stadium untuk menyelamatkan diri.

Sejumlah penonton yang menyedari haiwan itu sedang bergayut kemudian merakamkan video mengenai kejadian berkenaan.

Seorang penonton pula dilihat menghulurkan sebelah tangannya sebagai usaha untuk mencapai kaki kucing itu tetapi dia gagal berbuat demikian.

Haiwan itu juga dilihat cuba untuk mengelak daripada terjatuh namun kaki kirinya kemudian melepaskan pautan pada wayar berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa penonton yang berada di bahagian bawah stadium itu bersiap sedia menyambutnya dengan memegang bendera AS bersaiz besar untuk menyelamatkan kucing berkenaan.

Kucing itu akhirnya jatuh di atas bendera berkenaan dan seorang lelaki kemudian memegang haiwan berkenaan untuk ditunjukkan kepada para penonton bahawa ia masih lagi hidup.

Disiarkan pada: September 13, 2021 @ 10:07am
d