Amerika Utara

Penumpang tren sekadar 'melihat' penodaan

Oleh Agensi

Washington: Seorang wanita yang menaiki kereta api di Pennsylvania, Rabu lalu diperkosa dan kejadian itu didakwa disaksikan penumpang lain.

Polis Delaware County berkata, wanita itu melaporkan dia diperkosa di dalam gerabak yang bergerak di landasan tinggi di Jalan 69, Upper Darby, jam 11 malam, lapor kiro7.com.

Susulan itu, suspek, Fishton Ngoy, 35, ditahan atas beberapa tuduhan berkaitan dengan serangan itu.

Dia ditahan di pusat pengangkutan Jalan 69 selepas pekerja pihak berkuasa transit menyedari serangan itu dan melaporkan kepada pihak berkuasa.

Menurut KYW-TV, seorang peronda mendapati suspek dengan separuh pakaian menghampiri mangsa dan melakukan sesuatu.

Superintendan Timothy Bernhardt dari Jabatan Polis Upper Darby mengesahkan kepada WCAU bahawa serangan itu dirakam video pengawasan.

Beliau terkejut kerana melihat penumpang lain tidak melakukan apa-apa untuk membantu mangsa.

"Ada orang di dalam tren, tetapi tidak seorang pun membantunya," katanya.

Katanya, penyiasat masih menyiasat video itu namun mendedahkan ada ramai penumpang ketika itu.

"Seseorang seharusnya melakukan sesuatu. Kita berada di dalam masyarakat. Siapa yang membenarkan perkara seperti itu berlaku," katanya.

Pihak berkuasa pengangkutan mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu.

"Kejadian rogol berlaku pada Rabu dan pekerja menghubungi 911 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

"Ada penumpang dalam tren dan perbuatan itu boleh dihentikan jika ada yang menghubungi talian kecemasan lebih awal," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2021 @ 6:00am
d