Amerika Utara

Ibu koma, hilang kaki

Oleh Agensi

Washington: Seorang ibu dua anak koma selama 23 hari dan kehilangan kakinya selepas tersalah anggap simptom jangkitan darah dialaminya gejala Covid-19.

New York Post melaporkan Cher Little mula berasa sakit kepala dan demam, tetapi menyangka dia pasti dijangkiti virus itu.

Wanita berusia 47 tahun itu mula mengalami ruam pada kulit dan badan serta bibirnya menjadi ungu.

Keluarganya dari Connah's Quay, Wales membawanya ke hospital di mana dia diberi peluang 20 peratus untuk terselamat daripada penyakit itu.

Dia kemudian disahkan menghidap Meningococcal Septicaemia.

Selepas koma, kakinya bertukar menjadi hitam dan doktor tiada pilihan selain memotong kakinya sehingga ke paras lutut pada Februari lalu.

Cher berkata, dia bertuah kerana masih hidup bersama dua anaknya, Georgia, 23, dan Ryan, 19, serta pasangan, Mark Rowlands, 49.

"Saya sepatutnya mengetahui penyakit ini lebih awal dan menelefon ambulans, tetapi kita berada di tengah wabak jadi saya tersalah anggap ia koronavirus dan tidak melakukan ujian sehingga beberapa hari kemudian.

"Bagaimanapun, (keputusan) ujian Covid-19 negatif, ketika ini bibir saya berwarna ungu, saya masih ingat untuk tidur sebentar dan bangun dengan ruam seperti lepuh di seluruh muka saya," katanya.

Keluarga Cher menghubungi ambulans kerana dia seperti meracau.

Dia pengsan dalam tempoh 20 minit selepas tiba di hospital, dengan doktor mendapati badannya mengalami kejutan septik.

"Sungguh mengerikan mendengar cerita seram daripada keluarga saya. Doktor menelefon keluarga saya beberapa kali dan meminta mereka bersedia ucap selamat tinggal," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2021 @ 7:10am
d