Amerika Utara

Youtube sembunyikan jumlah 'dislike'

Oleh AFP

New York: Laman video YouTube mengumumkan jumlah "dislike" pada sesebuah video yang dimuat naik di platformnya tidak lagi akan kelihatan.

Syarikat itu menyatakan perubahan itu bagi memastikan pencipta kandungan tidak menjadi sasaran serangan berbaur kebencian atau gangguan.

Jumlah 'like' atau 'dislike' yang dipaparkan pada catatan di media sosial sering disebut oleh pengkritik boleh menjejaskan kesejahteraan pengguna dengan Facebook serta Instagram sudah membenarkan pengguna mereka menyembunyikan kiraan tanda suka atau 'like' pada hantaran mereka.

Butang "dislike" bagaimanapun tidak dihapuskan, tetapi jumlahnya hanya untuk maklum balas peribadi dan tidak dipertontonkan kepada khalayak.

"Bagi memastikan YouTube mempromosikan interaksi yang bersifat menghormati antara penonton dan pencipta kandungan, kami cuba uji dengan butang 'dislike' sama ada perubahan itu akan dapat melindungi pencipta kandungan daripada gangguan dan mengurangkan serangan kebencian," kata YouTube dalam satu kenyataan.

Menurut platform berkenaan, pencipta kandungan melaporkan menjadi mangsa serangan di mana penonton sengaja berusaha menambah jumlah 'dislike' yang tinggi.

Ada pencipta kandungan memaklumkan, jumlah 'dislike' yang tinggi menjejaskan kesihatan mental mereka.

Perubahan di YouTube itu dibuat ketika rangkaian sosial dan video utama dunia sering dituduh oleh penggubal dasar, penguasa kawal selia dan kumpulan pemantau sebagai tidak melakukan secukupnya untuk melindungi pencipta kandungan dan memerangi gangguan dalam talian.

Facebook ketika ini bertarung dengan salah satu krisis reputasinya yang paling serius, didorong oleh dokumen dalaman yang bocor di mana eksekutif mengetahui potensi bahaya platform mereka.

Pendedahan daripada kebocoran oleh bekas pekerja Facebook Frances Haugen telah meletakkan dorongan baru di sebalik perbincangan mengenai kawalan terhadap gergasi teknologi.

Kebimbangan mengenai potensi bahaya Facebook telah merebak ke platform lain dengan TikTok, Snapchat dan YouTube cuba meyakinkan senator di Amerika Syarikat dalam perbicaraan bulan lalu bahawa mereka selamat untuk pengguna muda.

Disiarkan pada: November 11, 2021 @ 7:42pm
d