Amerika Utara

Gitar Eric Clapton terjual RM2.6 juta

Oleh AFP

New York: Gitar vintaj milik legenda rock, Eric Clapton dijual dengan nilai AS$625,000 (RM2,614,062.50) dalam sebuah acara lelongan di New York, Amerika Syarikat, minggu lalu.

Julien Auctions mengumumkan, instrumen itu termasuk dalam lelongan memorabilia Icons & Idols: Rock 'N' Roll di Hard Rock Cafe yang mengutip nilai keseluruhan jualan hampir AS$5 juta (RM20.91 juta).

Instrumen akustik Martin D-45 1968 dimainkan Clapton pada 1970 ketika konsert sulung kumpulannya Derek and the Dominos yang terkenal dengan lagu klasik Layla, turut dibida dalam talian.

Julien menganggarkan instrumen itu mampu dijual pada antara AS$300,000 (RM1,254,750) kepada AS$500,000 (RM2,091,250).

Walaupun melebihi jangkaan, nilainya jauh lebih rendah daripada rekod gitar akustik yang digunakan vokalis Nirvana, Kurt Cobain ketika penampilan mereka di MTV Unplugged pada 1993 iaitu AS$6 juta (RM25.09 juta) 2020.

Hampir 1,000 memorabilia dijual dalam acara berkenaan termasuk gitar Gibson Explorer 1976 yang dimainkan oleh pemain gitar utama U2, The Edge yang dibawa dengan harga AS$437,500 (RM1,829,843.75) dan Fender Stratocaster yang digunakan pemain gitar Pink Floyd, David Gilmour, dijual pada harga AS$200,000 (RM836,500).

Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 9:13am
d