Amerika Utara

Temui mayat remaja hilang 21 tahun lalu

Oleh Agensi

Washington: Seorang YouTuber dilapor menemui mayat dua remaja Amerika Syarikat yang hilang 21 tahun lalu ketika menyelam di dasar Sungai Calfkiller di Tennessee baru-baru ini.

Jeremy Beau Sides daripada saluran selam skuba popular, Exploring with Nug menemui kereta jenis Pontiac Grand Am di dasar sungai dipercayai mengandungi mayat Erin Foster dan Jeremy Bechtel.

Pasangan berkenaan hilang pada 3 April 2000 ketika berusia 18 dan 17 tahun di bandar Sparta di Tennessee.

Selepas beberapa kali siasatan, pencarian remaja itu dihentikan dan polis mengklasifikasikan cold case (kes tidak dapat diselesaikan) sehinggalah penemuan terkini oleh Sides pada 24 November lalu.

Sides yang terkenal dengan perkongsian video menyelam dan mencari objek serta orang hilang tiba di bandar itu pada awal November.

Video mengenai penemuan berkenaan telah ditonton lebih 250,000 kali dan mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada komuniti bandar itu yang menghargai usahanya serta terharu apabila rakan mereka dijumpai.

Sementara itu polis yang dipetik USA Today mengesahkan kenderaan yang dikeluarkan dari sungai terbabit milik Foster dan terdapat rangka manusia di dalamnya.

Rangka mangsa sudah dihantar ke makmal bagi menjalani ujian DNA, manakala kedua-dua keluarga sudah dimaklumkan atas penemuan berkenaan.

Disiarkan pada: December 10, 2021 @ 6:10am
d