Amerika Utara

Guru mogok, sekolah awam Chicago batal kelas

Oleh Reuters

Chicago: Sekolah Awam Chicago, daerah pendidikan ketiga terbesar Amerika Syarikat (AS), terpaksa membatalkan kelas untuk hari kedua pada hari Khamis.

Ia berikutan guru enggan mengajar dan menuntut langkah perlindungan Covid-19 yang lebih ketat walaupun pihak berkuasa sudah memaklumkan bahawa sekolah selamat.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 340,000 pelajar terbiar, selepas Kesatuan Guru Chicago menuntut mengembalikan semula pembelajaran secara dalam talian serta mendesak protokol keselamatan lebih ketat termasuk ujian Covid-19 lebih meluas berikutan penularan pantas varian Omicron sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kesatuan menggesa 27,000 ahlinya untuk keluar dari bilik darjah dan bekerja dari rumah sehingga 18 Januari ini, melainkan lonjakan koronavirus reda atau kesatuan dan daerah bersetuju dengan protokol pembelajaran lain.

Selepas 73 peratus ahli kesatuan sekerja menyokong bekerja dari rumah mulai Rabu, sekolah daerah berkata kelas akan dibatalkan sementara kedua-dua pihak meneruskan rundingan bertujuan menamatkan kebuntuan mereka.

Pada Khamis, sekolah sekali lagi dibatalkan dan pihak berwajib berkata mungkin ada kelas yang dibuka semula pada Jumaat bergantung kepada guru serta kakitangan.

Menurut mereka hanya satu daripada 10 guru hadir ke sekolah pada Rabu dan berterusan hingga Khamis.

Datuk Bandar Lori Lightfoot menyifatkan tindakan guru itu menyalahi undang-undang dan gaji mereka akan ditolak.

Kesatuan itu menuduh datuk bandar dan pegawai sekolah membekukan arahan melakukan kerja secara dalam talian dan menghalang untuk kembali kepada pembelajaran secara jarak jauh sementara konflik tidak dapat diselesaikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Daerah Pedro Martinez berkata sistem sekolah tidak dibenarkan di bawah undang-undang negeri untuk memulakan pembelajaran jarak jauh seluruh.

Datuk Bandar, pegawai daerah dan pesuruhjaya kesihatan awam bandar berpendapat bahawa sekolah adalah selamat dan risiko telah diminimumkan ke tahap yang boleh diterima dengan pemakaian pelitup muka mulut, penjarakan sosial, pengudaraan yang lebih baik dan ujian pengesanan Covid-19 di lapangan.

Rumah Putih kelihatan menyebelahi daerah itu, dengan setiausaha akhbar Jen Psaki berkata pada Rabu dan Khamis bahawa sekolah awam terus dibuka, termasuk di Chicago.

Kesatuan itu menegaskan bahawa syarat untuk sebarang kembali ke bilik darjah semasa pandemik harus tertakluk kepada perundingan kolektif dan perlindungan yang ada tidak cukup.

Khususnya, guru mengkritik dasar daerah yang hanya menguji pelajar yang ibu bapanya mendaftar untuk program saringan, dan bukannya mewajibkan ujian untuk semua pelajar.

Kesatuan itu berkata data menunjukkan bahawa kadar vaksinasi adalah sangat rendah dalam kalangan pelajar minoriti.

Sehingga petang Rabu, menurut Chicago Tribune, kira-kira 9,000 pelajar daerah dan 2,300 kakitangan berada dalam pengasingan kerana mereka diuji positif untuk Covid-19 atau mempunyai kontak rapat.

Disiarkan pada: January 7, 2022 @ 12:46pm
d