Amerika Utara

Aplikasi TikTok paling banyak dimuat turun

Oleh Agensi

Boston: TikTok sekali lagi muncul sebagai aplikasi paling banyak dimuat turun di seluruh dunia dan Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu, berdasarkan analisis dijalankan platform Apptopia.

ETX Daily Up melaporkan aplikasi berpangkalan di China itu merekodkan 656 juta muat turun di seluruh dunia manakala 94 juta di AS.

Instagram (IG) menduduki tempat kedua dengan 545 juta muat turun, Facebook (FB) dengan 416 juta, WhatsApp (395 juta), Snapchat (327 juta) dan Twitter (171 juta).

Turut tersenarai dalam kelompok 10 aplikasi paling berpengaruh adalah MX TakaTak (128 juta), Discord (121 juta), WeChat (109.4 juta) dan Josh (111 juta).

Menurut kajian itu, TikTok masih berpengaruh di seluruh dunia, walaupun pada hakikatnya larangan TikTok di India membenarkan kemasukan aplikasi lain daripada genre sama.

Aplikasi dimaksudkan adalah MX TakaTak dan Josh, yang menggunakan kod warna yang sama seperti aplikasi terkenal dari China itu.

Platform yang direka khas untuk pengguna di India itu menawarkan fungsi serupa seperti TikTok yang dimiliki oleh syarikat ByteDance.

Ia adalah rangkaian video pendek berterusan yang bertemakan kecantikan, nyanyian, tarian, memasak, dan sedikit jenaka.

Memandangkan pertandingan nyanyian rancangan realiti bersaing antara satu sama lain di China, kini rangkaian media sosial membolehkan pengguna mencipta avatar sebelum mengambil bahagian dalam sembang tiga dimensi (3D) dengan pengguna di seluruh dunia.

Itulah tawaran unik IMVU, yang menduduki tempat ke-10 antara rangkaian sosial yang paling banyak dimuat turun di AS.

Disiarkan pada: January 9, 2022 @ 6:40am
d