Amerika Utara

Sudah tiga hari hidup dengan jantung babi

Oleh Agensi

New York: Seorang lelaki dari Maryland, di sini, sudah tiga hari hidup menggunakan jantung babi selepas pembedahan pemindahan organ membabitkan binatang berkenaan kepada manusia yang pertama di dunia itu berjaya dilakukan pasukan perubatan.

Pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Maryland membuktikan babi yang diubah suai genetiknya dan kali pertama digunakan sebagai penderma organ membuahkan hasil, lapor USA Today.

Dave Bennett, 57, sanggup mempertaruhkan nyawanya demi percubaan itu dengan menjadi manusia pertama yang mengambil risiko berkenaan selain berharap memberinya peluang untuk meneruskan kehidupan.

Manakala anaknya, David menyifatkan kejayaan pemindahan organ penting itu sebagai satu keajaiban.

Dalam pembedahan selama sembilan jam itu, doktor menggantikan jantungnya dengan jantung daripada babi berusia satu tahun.

Bennett bernafas sendiri tanpa ventilator, walaupun dia masih menggunakan mesin ECMO yang melakukan kira-kira separuh tugas mengepam darah ke seluruh badannya.

Saintis sudah menjalankan kajian selama beberapa dekad untuk memikirkan cara menyelamatkan nyawa manusia dengan organ haiwan.

Lebih daripada 100,000 orang duduk dalam senarai menunggu pemindahan organ, mengalami gejala dan kesan sampingan yang teruk.

Kira-kira 6,000 daripada mereka mati setiap tahun menunggu orang lain untuk memberikan mereka buah pinggang, jantung atau paru-paru.

Menurut saintis, babi mempunyai organ serupa dengan manusia.

Disiarkan pada: January 11, 2022 @ 8:31am
d