Amerika Utara

Dakwaan Rusia berundur palsu - pegawai kanan AS

Oleh Reuters

Washington: Seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden Joe Biden memberitahu wartawan bahawa Amerika Syarikat (AS) percaya dakwaan Rusia bahawa ia mengundurkan tentera dari sempadan Ukraine adalah "palsu."

"Semalam, kerajaan Rusia berkata, ia mengundurkan tentera dari sempadan dengan Ukraine. Mereka menerima banyak perhatian untuk dakwaan itu, di sini dan di seluruh dunia. Tetapi kita kini tahu ia adalah 'palsu'," kata pegawai itu.

Pegawai itu tidak memberikan butiran atau bukti bagaimana ia mengetahuinya.

Reuters melaporkan, pegawai itu, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, pentadbiran Biden mengesahkan bahawa Rusia meningkatkan kehadiran tenteranya di sepanjang sempadan Ukraine seramai 7,000 orang, dengan ramai daripada mereka tiba seawal Rabu.

Kementerian pertahanan Rusia sebelum ini berkata, tenteranya berundur selepas latihan berhampiran Ukraine, dan menerbitkan video yang menunjukkan tentera meninggalkan semenanjung Crimea.

Tetapi Setiausaha Negara AS. Antony Blinken dalam temu bual di MSNBC pada hari Rabu berkata, unit kritikal sedang bergerak ke arah sempadan.

Pada Selasa, Biden berkata, AS menganggarkan 150,000 tentera Rusia mengepung Ukraine, peningkatan daripada anggaran sebelumnya kira-kira 100,000.

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 9:26am
d