Amerika Utara

Skandal 1MDB: Leissner jumpa pakar feng shui

Oleh Reuters

New York: Dua bekas pegawai bank Goldman Sachs dikatakan mendapatkan nasihat daripada pakar feng shui pada 2016 berhubung cara mengendalikan siasatan Amerika Syarikat (AS) ke atas rompakan dana daripada dana kekayaan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) .

Ia didedahkan bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner ketika memberi keterangan pada hari Selasa.

Leissner adalah saksi utama pendakwa raya pada perbicaraan mahkamah persekutuan di Brooklyn membabitkan Roger Ng, 49, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat untuk mengubah wang dan melanggar undang-undang antirasuah.

Leissner, 52, mengaku bersalah atas tuduhan sama pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan.

Leissner memberi keterangan bahawa selepas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyampaikan sapina kepadanya pada Februari 2016, Ng dan isterinya, Hwee Bin Lim, mencadangkan dia berunding dengan pakar feng shui yang mereka percayai untuk bertanya sama ada mereka akan menghadapi masalah.

Ng meninggalkan Goldman pada 2014, kata Leissner.

Tuduhan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

Pendakwa raya berkata, Goldman antara 2009 hingga 2014 mengumpul AS $6.5 bilion (kira-kira RM27.2 bilion) untuk 1MDB melalui jualan bon dan memperoleh yuran AS $600 juta (kira-kira RM2.5 bilion) , namun AS$4.5 bilion (kira-kira RM18.9 bilion) itu dialihkan kepada pegawai, jurubank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan.

Leissner memberi keterangan bahawa dia dan Ng memainkan peranan penting dalam skim itu dan dirinya secara peribadi memindahkan wang suapan sebanyak AS$35 juta (kira-kira RM146.7 juta) kepada Ng, jurubank terkemuka Goldman untuk Malaysia.

Leissner menyelia pasukan Asia Tenggara firma itu.

Saksi itu pada Selasa berkata, Ng dan Lim menghadiri pertemuannya dengan ahli feng shui di sebuah hotel di Hong Kong dan diberitahu bakal menghadapi masalah dengan pihak berkuasa dalam tempoh lima tahun akan datang tetapi masalah itu akan diselesaikan sendiri.

"Saya dalam keadaan panik. Mereka merasakan ini akan memberi saya keselesaan dan mahu menunjukkan sokongan mereka," kata Leissner.

Pada akhir pertemuan itu, Leissner berkata beliau, Ng dan Lim mencipta "cerita muka depan" membabitkan Lim dan isteri Leissner ketika itu, Judy Chan, untuk dana AS$35 juta (kira-kira RM146.7 juta).

Peguam Ng berkata, anak guamnya tidak memainkan peranan dalam skim itu selain memperkenalkan Leissner kepada perantara yang rapat dengan kerajaan Malaysia dan memaklumkan Ng kemudian memberi amaran kepada Goldman supaya tidak mempercayainya (perantara).

Peguam Ng dijangka memanggil Lim untuk memberi keterangan dalam pembelaan suaminya itu.

Mereka mula memeriksa balas Leissner, yang sudah memberi keterangan selama lima hari penuh, pada pagi Khamis.

Pada 2020, Goldman membayar denda hampir AS$3 bilion (kira-kira RM12.6 bilion) dan mengatur supaya unit Malaysianyamengaku bersalah di mahkamah AS.

Disiarkan pada: March 2, 2022 @ 11:01am
d