Amerika Utara

Kanada sahkan 2 kes jangkitan cacar monyet

Oleh Agensi

Montreal: Agensi Kesihatan Awam Kanada (PHAC) mengesahkan dua kes pertama jangkitan virus cacar monyet semalam.

Ia selepas pihak berkuasa kesihatan di wilayah Quebec menyiasat 17 kes disyaki.

Malam ini, wilayah Quebec dimaklumkan, dua sampel yang diterima NML (Makmal Mikrobiologi Kebangsaan) diuji positif untuk cacar monyet.

"Ini adalah dua kes pertama yang disahkan di Kanada," kata PHAC dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Reuters.

Agensi itu berkata, Kanada tidak pernah melihat kes cacar monyet sebelum ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Perancis mengesahkan, kes pertama cacar monyet di negara itu dikesan di wilayah Ile-de-France.

Selain itu, The Guardian melaporkan, kemungkinan kes cacar monyet dikesan pada seorang lelaki berusia 40-an dari New South Wales, Australia yang baru pulang dari Eropah.

Menurut pihak berkuasa kesihatan awam negara itu, lelaki terbabit diarahkan menjalani kuarantin selepas mendapati gejalanya sama dengan penyakit itu dan ujian segera dijalankan.

Cacar monyet yang kebanyakannya berlaku di barat dan tengah Afrika adalah jangkitan virus yang jarang berlaku sama dengan cacar manusia, walaupun lebih ringan.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, negara lain termasuk Portugal, Sepanyol dan Itali turut merekodkan kes cacar monyet dengan kes pertama Amerika Syarikat dikenal pasti kesihatan awam Massachusetts pada Rabu membabitkan seorang lelaki yang melancong ke Quebec.

Virus itu pertama kalinya direkodkan menular di Republik Demokratik Congo pada tahun 1970-an.

Bilangan kes di Afrika Barat meningkat dalam dekad lalu.

Ia membabitkan gejala termasuk demam, sakit kepala dan ruam kulit bermula pada muka dan merebak ke seluruh badan.

Disiarkan pada: May 20, 2022 @ 12:35pm
d