Amerika Utara

Ambil cuti selepas kelar isteri

Oleh Agensi

Washington: Seorang lelaki di Florida memaklumkan tidak dapat hadir bertugas kerana terlalu sibuk membersihkan darah isterinya selepas mengelar wanita itu.

Xichen Yang ditahan selepas seseorang menelefon polis untuk melaporkan dia mengaku membunuh isterinya serta dilaporkan membakar pasportnya, lapor Daily Star.

Lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan memberitahu polis bahawa dia menyerang Nhu Quynh Pham sebelum dia memainkan muzik kegemarannya, dan memegang tangannya ketika 'detik terakhir' wanita itu .

Polis menyerbu masuk ke dalam rumah pasangan itu di Altamonte Springs selepas menerima panggilan mencemaskan, sejurus sebelum jam 9 pagi pada Selasa.

Yang dilaporkan menjawab panggilan daripada anak majikannya dan berkata dia menikam isterinya hingga mati dan menjelaskan bahawa dia tidak hadir kerja kerana 'cuba untuk membersihkan bukti', menurut dokumen pertuduhan.

"Sejurus selepas pegawai memasuki pangsapuri, seorang wanita ditemukan terbaring di dalam tab mandi," kata polis

Pasukan itu menambah bahawa Pham ditemui dengan luka di lehernya, dengan darah mengalir dan perutnya juga berlumuran darah.

Jabatan Bomba Daerah Seminole mengesahkan dia meninggal di tempat kejadian, pada jam 9.13 pagi, lapor Oxygen.com.

Yang ditahan lewat hari itu selepas polis menemui dua sarung tangan getah merah jambu dan sebotol pembasmi kuman di sebuah lorong.

Menurut dokumen kes itu, suspek memberitahu polis bahawa dia mengelar leher mangsa.

Yang kemudian membawanya ke bilik air, meletakkannya di dalam tab mandi, 'memainkan muzik kegemarannya,' dan 'memegang tangannya' selama kira-kira 10 minit,

Dia mengaku bahawa boleh menghalang dirinya daripada membunuh tetapi memaklumkan dirinya adalah jenis orang yang nekad.

Perkahwinan pasangan itu mengalami masalah dan polis sebelum ini menahan Yang kerana keganasan rumah tangga pada Januari, menurut laporan tempatan.

Disiarkan pada: June 30, 2022 @ 7:00am
d