Amerika Utara

Doktor 100 tahun belum mahu bersara

Oleh Agensi

Ohio: Dr Howard Tucker dari Amerika Syarikat yang diiktiraf doktor tertua di dunia yang masih berkhidmat oleh Guinness World Records, tidak berhasrat untuk bersara dalam masa terdekat.

Tucker yang berusia 100 tahun dan menetap di Cleveland berkata, dia akan terus bekerja sepenuh masa iaitu 9 pagi hingga 6 petang.

Katanya, beberapa hari selepas menyambut hari jadinya yang ke-100, Julai lalu, dia dijangkiti Covid-19, namun masih mampu mengajar secara dalam talian ketika tempoh pemulihan.

"Saya percaya persaraan adalah musuh kepada umur yang panjang. Malah ketika muda saya tidak pernah sekali pun mempertimbangkan hal persaraan.

"Apabila kita seronok melakukan apa yang kita buat dan berkemampuan meneruskannya, kenapa perlu bersara?" katanya yang dilapor UPI.

Isteri Tucker, Sue yang berusia 89 tahun juga masih berkhidmat sebagai psikoanalisis.

Tucker menerima pengiktirafan dunia itu pada Februari 2021 ketika berusia 98 tahun 231 hari.

Dia menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan dan satu lagi pencapaian dalam kehidupannya yang membahagiakan.

Disiarkan pada: October 17, 2022 @ 10:41am
d