Amerika Utara

Jururawat potong kaki tanpa arahan doktor

Oleh Agensi

Washington: Seorang bekas jururawat di Wisconsin menghadapi tuduhan jenayah selepas bertindak memotong kaki pesakit yang hampir mati tanpa arahan doktor.

Portal Insider melaporkan, Mary K Brown, 38, bekas jururawat yang bertanggungjawab menjaga mangsa di Pusat Kesihatan dan Pemulihan Spring Valley di Spring Valley, Wisconsin, didakwa atas penderaan fizikal ke atas warga emas.

Dia didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan melakukan keganasan, menurut aduan jenayah yang disemak oleh saluran berita tempatan WQOW.

Pesakit yang hampir maut berada di bawah jagaan Brown, mengalami luka beku (frostbite) yang teruk pada kedua-dua kakinya, dan dimasukkan ke rumah jagaan pada Mac 2022 dan dipercayai hampir mati menjelang akhir Mei lalu.

Menurut WQOW, Brown memotong kaki kanan pesakit dan hanya tinggal beberapa kulit dan tendon tergantung dalam kejadian 27 Mei lalu, walaupun tidak mendapat kebenaran daripada doktor atau diminta pesakit.

Brown mengakui kepada pegawai polis, dia memotong kaki pesakit untuk menjadikannya lebih selesa, menurut WQOW.

Seorang jururawat yang menyaksikan kejadian itu memberitahu pegawai polis pesakit itu menggenggam tangannya dengan kuat dan mengerang kesakitan ketika prosedur itu dilakukan.

Menurut saluran berita tempatan, seorang jururawat lain memberitahu polis, prosedur memotong kaki itu dilakukan dengan teruk.

Jururawat itu juga memberitahu, Brown menyebut keluarganya mempunyai kedai taksidermi, di mana dia berhasrat untuk memulihara kaki itu dan meletakkannya pada paparan dengan tanda yang berbunyi, "pakai kasut but anak anda."

Kes itu kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Disiarkan pada: November 8, 2022 @ 12:35pm
d