Amerika Utara

Pempengaruh tapi sebenarnya 'tukang cuci' duit haram...

Bloomberg melaporkan, Ramon Abbas, 40, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah pada April tahun lalu atas konspirasi untuk terbabit dalam pengubahan wang haram.

Abbas membantu penggodam Korea Utara 'mencuci' wang daripada percubaan mereka untuk mencuri lebih daripada AS$1.3 bilion (kira-kira RM6.1 bilion) melalui rompakan bank secara dalam talian.

Abbas bersetuju mengaku salah sekali gus mengehadkan haknya untuk rayuan terhadap hukuman, walaupun masih boleh berbuat demikian.

Abbas, yang dilahirkan di Nigeria mempunyai pengaruh kuat di IG dengan lebih dua juta pengikut dan sering memuat naik gambarnya tersenyum di hadapan kereta Rolls-Royces atau Ferrari, atau duduk di dalam jet peribadi.

Di blog gosip, dia dikenali sebagai 'Nigerian big boy' iaitu singkatan untuk penipu dalam talian.

"Dia adalah penjenayah," kata pendakwa dalam pemfailan mahkamah, memetik 'sejarah panjang lelaki itu sebagai penipu dan pengubahan wang haram'.

Abbas hadir memakai jumpsuit penjara berwarna jingga dan digari, memberitahu hakim dia menghadapi masalah kewangan yang teruk pada 2019 apabila menerima tawaran daripada beberapa pihak untuk membantu mereka 'mencuci' wang haram.

"Saya terdesak, Yang Arif. Saya sangat terdesak," katanya.

Abbas meminta maaf kepada mangsanya dan berjanji untuk membayar balik sepenuhnya dengan menjual dua Rolls-Royces, Ferrari dan Range Rover miliknya.

Dalam surat kepada hakim, Abbas sekali lagi memohon maaf atas tindakannya.

"Jika saya boleh memutar balik masa, saya akan membuat keputusan yang sama sekali berbeza dan lebih berhati-hati dalam (membuat) pilihan dan (memilih) rakan," tulisnya dalam surat tulisan tangan itu.

Disiarkan pada: November 9, 2022 @ 12:08pm
d