Amerika Utara

Maryland pula haramkan penggunaan TikTok

Oleh AP

Annapolis: Selepas beberapa agensi dan negeri Amerika Syarikat (AS), kini giliran Maryland pula mengharamkan penggunaan TikTok dan beberapa platform media sosial berpangkalan di China dan Rusia, di seluruh negeri itu.

Gabenor Larry Hogan berkata, arahan siber sekuriti kecemasan yang melarang penggunaan platform itu berkata, ia mengelak pengintipan siber, pengawasan kerajaan dan pengumpulan maklumat peribadi sensitif.

"Mungkin tidak ada ancaman yang lebih besar terhadap keselamatan peribadi dan keselamatan negara kita daripada kelemahan siber yang menyokong kehidupan seharian kita.

"Untuk terus melindungi sistem, kami mengeluarkan arahan kecemasan ini terhadap platform asing dan organisasi yang cuba melemahkan dan memecahbelahkan kita," katanya dalam kenyataan.

Semalam, wakil Republikan dari Wisconsin di Kongres menyeru Gabenor Demokrat Tony Evers untuk memadamkan platform video TikTok daripada semua peranti kerajaan negeri kerana menyifatkannya sebagai ancaman keselamatan negara.

Minggu lalu, Gabenor Dakota Selatan, Kristi Noem juga seorang Republikan, melarang pekerja dan kontraktor negeri daripada mengakses TikTok menerusi peranti milik kerajaan kerana berkaitan dengan China.

Gabenor Carolina Selatan, Henry McMaster, juga seorang Republikan, pada Isnin meminta Jabatan Pentadbiran negeri mengharamkan TikTok daripada semua peranti kerajaan negeri.

Gabenor Nebraska Pete Ricketts pula menyekat TikTok pada peranti elektronik negeri pada Ogos 2020.

Angkatan bersenjata AS juga melarang aplikasi pada peranti tentera.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TikTok, Vanessa Pappas, yang berpangkalan di Los Angeles berkata, syarikat itu melindungi semua data pengguna AS dan pegawai kerajaan China tidak mempunyai akses kepadanya.

Seorang penyelidik Yayasan Warisan konservatif bulan lalu menggesa pegawai kerajaan melarang TikTok daripada beroperasi sepenuhnya di Amerika Syarikat.

Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Chris Wray berkata, China boleh menggunakan aplikasi itu untuk mengumpul data penggunanya yang boleh digunakan operasi pengintipan tradisional.

Namun, sesetengah pakar mengatakan ancaman itu terlalu berlebihan.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 11:02am
d