Amerika Utara

Guru parah ditembak murid 6 tahun [METROTV]

Oleh AFP

Washington: Seorang guru parah apabila kanak-kanak lelaki berusia enam tahun melepaskan tembakan di dalam kelas sebuah sekolah rendah di Virginia timur, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Ketua polis tempatan, Steve Drew berkata, kejadian itu berlaku di Sekolah Rendah Richneck yang terletak di bandar pesisiran pantai, Newport News.

Katanya, tiada murid cedera dalam kejadian terbabit.

"Suspek ialah murid berusia enam tahun. Dia sudah ditahan polis.

"Siasatan mendapati ini bukan tembakan tidak sengaja," katanya pada sidang media.

Beliau berkata, guru berusia 30-an itu masih bertarung nyawa kerana kecederaan serius dialaminya.

Penyelia sekolah bandar itu, George Parker berkata, mereka memohon sokongan masyarakat bagi memastikan senjata api tidak mudah diakses golongan bawah umur.

Mei lalu, tragedi sama yang berlaku di Uvalde, Texas mengorbankan 19 kanak-kanak dan dua guru apabila seorang bersenjata berusia 18 tahun melakukan serangan di sebuah sekolah.

Setakat ini, kira-kira 44,000 kematian di AS tahun lalu dikaitkan dengan serangan senjata api.

Berdasarkan rekod Arkib Keganasan Senjata, jumlah itu meliputi sebahagian daripada kes pembunuhan, kemalangan dan mempertahankan diri serta membunuh diri.

Disiarkan pada: January 7, 2023 @ 9:34am
d