Amerika Utara

Kalah main, budak tembak rakan

Oleh AFP

Mexico City: Gara-gara kalah dalam permainan video, seorang kanak-kanak maut ditembak dengan pistol oleh rakan sepermainannya.

Pihak berkuasa berkata, insiden ganas di negeri timur Veracruz itu membabitkan dua budak lelaki iaitu mangsa yang berusia 11 tahun, manakala pelaku jenayah berkenaan berumur 10 tahun.

Suspek mengambil pistol dari rumah keluarga dan menembak mangsa di kepala pada Ahad selepas kecewa dan marah akibat kekalahannya ketika bermain di premis sewa permainan video.

Kanak-kanak itu dan keluarganya kemudian melarikan diri.

"Apa yang saya minta ialah anda membantu saya untuk mencapai keadilan," kata ibu mangsa kepada pemberita pada majlis pengebumiannya pada Selasa.

"Anak saya meninggal dunia kerana ibu bapa kanak-kanak yang membunuh anak saya itu bersikap tidak bertanggungjawab kerana meninggalkan pistol di atas meja," tambahnya.

Veracruz adalah antara negeri paling ganas di Mexico akibat peperangan antara pengedar dadah.

Lebih 340,000 orang dibunuh di seluruh negara Amerika Latin itu sejak kerajaan mengerahkan tentera dalam perang melawan dadah pada 2006.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 11:03am
d