Amerika Utara

Lelaki ini belanja RM8.48 juta untuk lebih muda

Oleh Agensi

New York: Usianya sudah mencecah 45 tahun, namun lelaki ini kelihatan lebih muda daripada usianya iaitu seakan berusia 37 tahun.

Bagaimanapun, Bryan Johnson, 45, yang juga pengasas syarikat bioteknologi menyimpan hasrat untuk menjadi jauh lebih muda iaitu berusia 18 tahun menerusi program eksperimennya dikenali Project Blueprint.

Bloomberg melaporkan, Johnson membelanjakan sehingga AS$2 juta dolar (kira-kira RM8.4 juta) untuk dirinya tahun ini dan kemungkinan berada di landasan tepat mengenai fakta untuk kelihatan lebih muda.

Keputusan ujian terkini daripada doktor menunjukkan bahawa Johnson mempunyai jantung seorang lelaki berusia 37 tahun, kulit (28 tahun) dan kapasiti paru-paru (18 tahun).

Program itu diketuai Dr Oliver Zolman, 29, yang menggelar dirinya sebagai doktor peremajaan dengan kerjasama lebih 30 pakar kesihatan.

Walaupun ia masih dalam peringkat percubaan, namun program kesihatan itu disusun teliti dengan produk makanan tambahan, makanan, senaman dan pelbagai ujian badan.

Sebagai contoh, Johnson memulakan hari pada jam 5 pagi dengan dua dozen suplemen untuk semua jenis manfaat kesihatan seperti likopena, metformin, kunyit, zink dan litium untuk kesihatan minda.

Makanannya pula adalah campuran makanan pepejal dan lembut terhad kepada 1,977 kalori sehari selain bersenam setiap hari dengan tiga latihan intensiti tinggi dalam seminggu dan menjalani ujian darah, MRI serta kolonoskopi setiap bulan.

"Apa yang saya lakukan mungkin kedengaran melampau tetapi saya cuba membuktikan bahawa kemudaratan diri boleh dielakkan," katanya kepada Bloomberg.

Semua usahanya pada 2021 mencapai rekod pengurangan usia selama 5.1 tahun.

Dalam aspek kesihatannya yang tertentu, beliau menunjukkan tanda usia lebih muda apabila doktor mengatakan beliau mengalami keradangan gusi dan kadar ereksi seperti remaja berusia 17 tahun.

Johnson juga berharap dapat menggalakkan orang ramai mengikuti program sepertinya dan dijadikan pertandingan.

Baru-baru ini, beliau memulakan laman web Rejuvenation Olympics memaparkan papan epigenetik yang menempatkan 1,750 orang menyertai pertandingan itu dengan beliau berada di tempat pertama.

Disiarkan pada: January 28, 2023 @ 1:22pm
d