Amerika Utara

Apa yang kita ketahui mengenai 'asteroid kentang' 2011 AG5?

Oleh Agensi

Washington: Asteroid berbentuk kentang yang dikesan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) disifatkan sebagai asteroid 'paling memanjang' pernah dirakam.

Pada 3 Februari lalu, batuan angkasa lepas lebih tiga kali ganda lebih panjang daripada lebarnya itu, selamat terbang melepasi bumi pada jarak kira-kira 1.1 juta batu (1.7 juta kilometer).

Portal Metro UK melaporkan, ia kurang lima kali ganda jarak antara bulan dan bumi, jadi tiada risiko asteroid itu untuk menjejaskan bumi.

Saintis di Makmal Penggerak Jet (JPL) Nasa di California Selatan, dapat menjejaki objek yang dipanggil 2011 AG5 itu dan membuat pemerhatian untuk menentukan saiz, putaran dan butiran permukaan terutama bentuknya.

"Daripada 1,040 objek dekat bumi yang diperhatikan oleh radar planet setakat ini, ini adalah salah satu (objek) paling memanjang yang pernah kita lihat," kata Lance Benner, saintis utama di JPL yang membantu mengetuai pemerhatian.

Dijejaki rapat oleh Deep Space Network Nasa, pendekatan rapat ini memberikan peluang pertama untuk melihat secara terperinci asteroid itu, sejak ia ditemukan pada 2011.

Asteroid itu kira-kira 500 meter (m) panjang dan 150 m lebar dan mempunyai dimensi yang sama dengan Bangunan Empire State di New York.

Antena Radar Sistem Suria Goldstone 70 m yang berkuasa di kemudahan Deep Space Network berhampiran Barstow, California, mendedahkan dimensi asteroid yang sangat memanjang ini.

"Pemerhatian berterusan objek ini menolak sebarang kemungkinan kesan dan ukuran julat baharu oleh pasukan radar planet ini akan memperhalusi dengan tepat di mana ia akan berada jauh ke masa depan," katanya.

Pemerhatian radar Goldstone berlaku dari 29 Januari hingga 4 Februari merakam beberapa butiran lain.

Bersama-sama dengan lekuk yang besar dan luas dalam salah satu daripada dua hemisfera asteroid, 2011 AG5 mempunyai kawasan gelap dan terang yang halus dan mungkin menunjukkan ciri permukaan berskala kecil beberapa dozen meter.

Pemerhatian juga mengesahkan asteroid ini mempunyai kadar putaran yang perlahan, mengambil masa sembilan jam untuk berputar sepenuhnya.

Nasa menambah, jika asteroid itu dilihat oleh mata manusia, ia akan kelihatan gelap seperti arang.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 12:13pm
d