Amerika Utara

Rela rompak satu dolar untuk masuk penjara

Oleh Agensi

Salt Lake City: Seorang lelaki sanggup merompak hanya AS$1 (RM4.50) di sebuah bank pada Isnin, demi dihantar ke penjara.

Selepas melakukan rompakan, lelaki berusia 65 tahun itu menunggu di lobi untuk ditahan polis, lapor portal KSL.com.

Donald Matthew Santacroce ditahan di Penjara Salt Lake County untuk siasatan kes rompakan itu.

Berdasarkan afidavit polis, Santacroce memasuki Wells Fargo, 299 S Main dan memberi juruwang nota: "Tolong maafkan saya kerana melakukan ini tetapi ini adalah rompakan. Tolong beri saya AS$1. Terima kasih".

Juruwang memberi Santacroce wang yang diminta dan kemudian memintanya pergi.

Namun, Santacroce sebaliknya memberitahu juruwang untuk menghubungi polis, kata afidavit itu.

"Santacroce duduk di lobi bank dan menunggu polis tiba.

"Sementara menunggu polis yang tiba lambat, dia berkata kepada mangsa bahawa mereka bernasib baik kerana dia tidak mempunyai pistol.

"Pengurus cawangan membawa semua pekerjanya ke bilik belakang berkunci bagi keselamatan mereka," menurut afidavit itu.

Berdasarkan laporan, suspek melakukan jenayah itu kerana mahu ditahan di penjara persekutuan dan sekiranya tidak, dia akan merompak bank lain serta meminta lebih banyak wang.

Terdahulu, Santacroce ditahan oleh Peronda Lebuhraya Utah di Iron County kerana memandu secara cuai dengan lesen memandu sudah digantung.

Disiarkan pada: March 13, 2023 @ 11:20am
d