Amerika Utara

Diculik di Washington, jumpa di Mexico

Oleh Agensi

Washington: Kanak-kanak yang diculik di pusat beli-belah di Washington, Amerika Syarikat (AS) pada 2018, ditemukan dalam keadaan hidup dan sihat di Mexico.

Perkara itu disahkan Pegawai Penyiasatan Persekutuan (FBI), Richard A Collodi yang bertanggungjawab mengendalikan kes itu.

Menurut Collodi, Aranza Maria Ochoa Lopez berusia empat tahun ketika kali terakhir dilihat dalam lawatan diawasi bersama ibu kandungnya di pusat beli-belah di Vancouver, Washington.

Katanya, ibu Aranza ditahan pada 2019 di Puebla, Mexico, tetapi anak muda itu, yang kini berusia lapan tahun, dilaporkan hilang sehingga dia ditemukan di Michoacan, Mexico, pada Februari lalu, dan kini dikembalikan ke AS, kata pegawai.

"Selama lebih empat tahun, FBI (Biro Penyiasatan Persekutuan) dan rakan kongsi kami tidak berputus asa terhadap Aranza.

"Sekarang kami akan membantu Aranza ketika dia memulakan integrasi semula ke AS," kata ejen khas itu yang bertanggungjawab ke atas pejabat lapangan FBI di Seattle.

Ibunya, Esmeralda Lopez-Lopez, mengaku bersalah pada Januari 2021 atas penculikan dan rompakan peringkat dua, serta campur tangan tahanan peringkat pertama di Mahkamah Tinggi Clark.

Dia menerima hukuman penjara 20 bulan, menurut The Columbian.

Sebelum kejadian culik itu, kanak-kanak itu berada dalam jagaan negeri ini selepas ditempatkan dalam jagaan angkat pada 2017, berikutan aduan bahawa dia didera oleh ibunya.

Wanita terbabit diberikan hak lawatan anaknya, dua kali seminggu melihat anak perempuannya.

Pada masa kejadian, dia membawa anak perempuannya ke tandas di pusat beli-belah sebelum melarikan diri bersama kanak-kanak itu.

Disiarkan pada: March 14, 2023 @ 12:12pm
d