Amerika Utara

Rupanya tak bersalah selepas dipenjara 33 tahun

Oleh Agensi

Los Angeles: Seorang lelaki California yang meringkuk dalam penjara selama 33 tahun atas dakwaan cubaan membunuh dibebaskan selepas diisytiharkan tidak bersalah, semalam.

Daniel Saldana, 55, dijatuhi hukuman penjara 45 tahun pada 1990 selepas disabitkan dengan cubaan membunuh dalam kejadian tembakan enam pelajar sekolah menengah Baldwin Park, timur Los Angeles pada 1989.

Peguam daerah Los Angeles County, George Gascón berkata, dua daripada pelajar itu cedera dalam kejadian yang berlaku selepas perlawanan bola sepak.

Katanya, Saldana, Raul Vidal dan April Gallegos disabitkan dengan enam pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan menembak ke arah kenderaan yang diduduki.

"Pada 2017, Vidal memberitahu lembaga parol negeri, dia bertanggungjawab ke serangan itu, malah Saldana tidak ada di tempat kejadian pada masa itu.

"Tetapi maklumat itu tidak disediakan kepada Saldana atau peguam belanya, tetapi seorang Pendakwa Raya Los Angeles hadir, mungkin tidak melaporkan maklumat itu," katanya seperti dilaporkan Los Angeles Times.

Katanya, pada Februari 2023, Lembaga Parol menyerahkan transkrip daripada pendengaran itu kepada Unit Integriti Sabitan Pejabat peguam daerah sekali gus satu siasatan dilancarkan.

Dilaporkan, pejabat itu menyertai usul daripada Saldana supaya sabitannya dibatalkan sebelum Hakim Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles, William Ryan membenarkan keputusan tidak bersalah akibat fakta pada 11 Mei lalu.

Dalam satu sidang akhbar di pusat bandar, Saldana yang diapit ahli keluarganya berkata, pembebasannya menunjukkan satu perjuangan menegakkan keadilan.

"Setiap hari bangun dengan mengetahui, anda tidak bersalah.

"Saya dikurung dalam sel, tak tahu sistem undang-undang dan tiada sumber atau wang," katanya.

Katanya, ketika ditahan dia baru berusia 22 tahun dan sedang bekerja dalam sektor pembinaan semasa serangan terbabit.

"Saya tak tahu kenapa dikaitkan dengan jenayah itu," katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 3:11pm
d