Amerika Utara

Graduan termuda

Oleh Agensi

Oklahoma City: Remaja berusia 13 tahun muncul graduan termuda di Kolej Komuniti Oklahoma City selepas menggenggam Ijazah Bersekutu dalam Sains Komputer dan Keselamatan Siber.

Berdasarkan agensi di bawah ABC News, KOCO, Elijah Muhammad dilaporkan berkata, dia memiliki beberapa pensijilan termasuk 10 sijil IBM, satu sijil IT Google dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Oklahoma State University.

"Ayah mengendalikan program 'homeschool' yang dikenali Pro One Collegiate Academy dan ia mempercepatkan pembelajaran terhadap perkara yang kita minati.

"Memandangkan saya minat dalam bidang keselamatan siber, ia mempercepatkan proses pembelajaran, sekali gus membolehkan saya masuk ke kolej lebih awal," katanya kepada Good Morning America.

Elijah berkata, dia sering menjadi perhatian pelajar lain dalam kursus di kolejnya.

"Ramai anggap saya dijaga oleh orang dewasa dalam kelas itu.

"Saya terpaksa menjelaskan kepada mereka, yang saya belajar dalam kelas itu hingga membuatkan mereka terkejut.

"Mereka juga tidak sangka, saya kerap bertanya soalan dan berinteraksi dalam kelas," katanya.

Katanya, sepanjang pengajian, dia juga meluangkan masa untuk aktiviti lain termasuk berenang dan bermain bola keranjang, selain menjadi penceramah motivasi untuk memberi dorongan kepada orang lain.

Sementara itu, kakaknya, Shania Muhammad berkata, Elijah individu paling bijak yang dia kenali.

"Elijah mendapat inspirasi daripada saya yang menamatkan pengajian dari Universiti Langston pada usia 15 tahun," katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 3:53pm
d