Amerika Utara

Bunuh suami ketika tandatangan surat cerai

Oleh Agensi

Washington: Wanita Vietnam di Amerika Syarikat sepatutnya bertemu dengan suaminya bagi menandatangani surat perceraian, namun dia bertindak sebaliknya apabila membunuh lelaki itu dengan tukul.

My Tran, 42, yang bermastautin Arlington, Texas, kini menghadapi tuduhan pembunuhan.

Mangsa berusia 45 tahun menjemput Tran ke apartmennya untuk mendapatkan persetujuan bagi bercerai pada 24 Mei lalu.

Tran sendiri menghubungi perkhidmatan kecemasan dan mengaku memukul kepala suaminya dengan alat itu.

Menurut afidavit waran tangkap, Tran yang bertutur dalam bahasa Vietnam, mula-mula mengaku kepada kakitangan kecemasan, melalui jurubahasa, sebelum membuat pengakuan sama kepada detektif polis Arlington.

Seorang detektif yang fasih berbahasa Vietnam bertindak sebagai penterjemah.

Polis tiba di sebuah apartmen itu kira-kira 6 pagi Rabu lalu sebelum mendapati Tran duduk di luar apartmen.

Mereka menemui mayat lelaki berusia 45 tahun itu dalam keadaan terbaring dan tidak bergerak di dalam bilik tidurnya.

Pihak berkuasa mengesahkan, dia meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Tran ditahan di Penjara Arlington City serta menghadapi satu pertuduhan pembunuhan.

Disiarkan pada: May 27, 2023 @ 3:17pm
d