Amerika Utara

Rompak guna pistol permainan video

Oleh Agensi

Columbia: Hanya berbekalkan pistol permainan video, lelaki di South Carolina, Amerika Syarikat ini berjaya memperdaya dan merompak sebuah kedai serbaneka.

Lelaki itu, David Dalesandro, 25, merompak kedai Kwik Stop di Sharon kira-kira 5.45 petang, Selasa lalu.

Pejabat Syerif York berkata, suspek masuk ke kedai berkenaan dengan menakutkan pekerja kedai menggunakan pistol permainan video Nintendo 'Duck Hunt'.

Menurut polis, suspek mengacu pistol itu ke arah juruwang supaya wang dikeluarkan.

"Dalesandro memakai rambut palsu, topeng dan hoodie.

"Suspek turut mewarnakan pistol permainan video itu dengan hitam supaya ia kelihatan lebih realistik.

"Juruwang kedai itu mengeluarkan kira-kira AS$300 (RM1,373.25) sebelum menyerahkannya kepada suspek yang melarikan diri selepas itu," kata pejabat itu.

Katanya, suspek ditemui di tempat letak kenderaan berdekatan Hentian Kwik.

"Pihak berkuasa menemui pistol permainan itu dalam seluarnya dan menahannya," katanya.

Dalesandro dihantar ke Pusat Tahanan Daerah York atas tuduhan rompakan bersenjata dengan senjata maut, memakai topeng dan rompakan kecil kurang daripada nilai AS$2,000 (RM9,155).

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 12:26pm
d