Amerika Utara

Malu dapat, sakit pun dapat...

Oleh Agensi

Washington: Seorang doktor terpaksa menahan kesakitan dan malu apabila diserang lelaki atas dakwaan melakukan serangan seksual terhadap isterinya.

Kejadian itu berlaku ketika mesyuarat tahunan American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) di Baltimore, bulan lalu serta dirakam dalam video.

Rakaman itu menunjukkan, lelaki itu menghampiri doktor sambil bercakap, menghina dan menampar mukanya beberapa kali.

"Dia menyerang isteri saya secara seksual tujuh tahun lalu.

"Anda tahu apa yang anda lakukan. Anda menyentuh isteri saya tujuh tahun lalu di New York.

"Ini adalah untuk semua lelaki yang menyerang wanita secara seksual," lelaki itu memaki hamun dan menghamburkan kemarahannya sebelum menampar doktor itu.

Selepas itu kedengaran suara seorang wanita memanggil pengawal keselamatan bagi meredakan keadaan, namun menaikkan suhu kemarahan lelaki itu.

"Anda boleh menghubungi pengawal keselamatan, polis! Saya tidak peduli!," katanya.

Malah kedengaran juga suara ketawa penonton lain di tempat kejadian hingga mendorong lelaki itu kembali mendekati doktor itu.

"Saya tunggu saat ini tujuh tahun. Tujuh tahun! Isteri saya menderita," katanya memakin hamun.

Polis Baltimore mengesahkan, siasatan sedang dijalankan.

Katanya, doktor yang diserang itu tidak menuntut sebarang pertuduhan terhadap lelaki itu, sebaliknya hanya meminta lelaki itu dibawa keluar dari premis berkenaan.

Menurut WMAR doktor itu, dari Pusat Kanser Universiti Stony Brook di Long Island, New York tidak didakwa melakukan kesalahan jenayah.

Sementara itu, ACOG turut mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas kejadian itu.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 1:39pm
d