Amerika Utara

Ibu kejam lemaskan bayi dalam tab mandi

Oleh Agensi

New York: Ibu muda di Iowa, Amerika Syarikat (AS) tergamak bersubahat dengan teman lelaki untuk membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya dengan melemaskan mangsa di dalam tab mandi di rumahnya.

Akibatnya, tertuduh, Taylor Blaha, 24, baru-baru ini, dijatuhi hukuman penjara selama 50 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh tahap kedua.

India Times melaporkan, Blaha perlu menjalani 70 peratus tempoh hukuman penjara itu atau kira-kira 35 tahun sebelum layak mendapat parol.

Teman lelakinya, Brandon Thoma, 31, yang juga bapa kepada dua anaknya, yang turut bersubahat dengan wanita itu, mengaku bersalah mengakibatkan kematian dan melakukan penderaan terhadap mangsa.

Kematian mangsa, Kayleen, sampai ke pengetahuan polis, pada 22 November tahun lalu.

Menurut rekod mahkamah, kisah itu terbongkar pada April tahun lalu selepas Blaha mendedahkan kehamilannya kepada Thoma.

Blaha bagaimanapun nekad menggugurkan kandungan dan mengambil methamphetamine dengan bantuan Thoma untuk mengurangkan kesakitan.

Bagaimanapun, Kayleen selamat dilahirkan, dan kerana takut kerana menyalahgunakan dadah, Blaha bersama pasangannya memutuskan untuk melemaskan bayi itu.

Menurut Blaha, Thoma membantunya melakukan jenayah itu, malah memberi semangat kepadanya untuk meneruskan perbuatan keji itu.

Ketika disoal siasat detektif, Blaha mendedahkan dia dan pasangannya menyembunyikan mayat mangsa di dalam plastik sampah, sebelum memasukkannya di dalam beg galas untuk membuangnya.

Bagaimanapun, Thoma kemudiannya ditangkap selepas perbuatannya terbongkar. Ia selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia meninggalkan pangsapuri dengan beg galas mengandungi 'objek segi empat tepat'.

Pada mulanya, Blaha berdepan pertuduhan tahap pertama dan mengaku tidak bersalah.

Bagaimanapun, dia kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan lebih ringan iaitu pembunuhan tahap kedua.

Sementara itu, Thoma mendapat pengurangan hukuman dan hukuman ke atasnya akan dijatuhkan pada 1 September depan.

Disiarkan pada: August 23, 2023 @ 11:21am
d