Amerika Utara

Selesema burung jangkiti lembu di AS

Oleh Agensi

Austin: Selepas kebakaran hutan yang membunuh 7,000 ternakan, industri tenusu Texas Amerika Syarikat, sekali lagi dilanda musibah apabila lembu di Texas Panhandle pula diserang selesema burung.

Penemuan itu, yang dilaporkan di dua tenusu berbeza, dipercayai kali pertama penyakit itu ditemui dalam ternakan, kata penyelidik.

Strain of Highly Pathogenic Avian Influenza, yang biasa dikenali sebagai selesema burung, disahkan Setiausaha Pertanian AS dan Perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan, Isnin lalu.

Jabatan pertanian negeri juga sedang memantau wabak itu.

Wabak sama juga dilaporkan melanda di kilang tenusu di Kansas dan New Mexico.

Jabatan Pertanian AS, berkata tiada kebimbangan keselamatan terhadap bekalan susu komersial.

Katanya, kesihatan pengguna juga tidak berisiko kerana susu daripada haiwan yang terjejas sedang dibuang atau dimusnahkan dan tidak akan memasuki bekalan makanan.

Pesuruhjaya Pertanian Texas, Sid Miller berkata, kawanan yang dijangkiti dijangka kehilangan sehingga 40 peratus daripada pengeluaran susu mereka selama tujuh hingga 10 hari sehingga mereka pulih daripada gejala mereka.

"Sekiranya terdapat susu yang terjejas memasuki rantai makanan, proses pempasteuran akan membunuh virus itu," katanya.

Industri tenusu adalah kritikal bagi negeri ini.

Dengan kira-kira 292 tenusu dan anggaran 625,000 lembu, Texas menduduki tempat keempat di AS dalam pengeluaran susu dan menyumbang kira-kira AS$50 bilion (RM236.65 bilion) kepada ekonomi negeri.

Di Panhandle, juga dikenali sebagai Cattle Country, lebih 1.3 bilion gelen susu dihasilkan setiap tahun, menurut data dari Texas Association of Dairymen.

Kadar pengeluaran tertinggi adalah di daerah Hartley, Castro dan Moore.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Haiwan Texas, penyakit itu menyebabkan penurunan dalam pengeluaran susu serta susu yang lebih pekat seperti kolostrum dan lembu kurang selera makan.

Penyakit ini juga memberi kesan teruk kepada lembu terutama yang lebih berusia pada pertengahan laktasi.

Secara purata, kira-kira 10 peratus daripada setiap kumpulan yang terjejas dijangkiti.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 12:46pm
d