Asia

Si bulus jadi peneman

Oleh Agensi

Beijing: Tujuh kucing akan bertugas sebagai peneman pengunjung di sebuah perpustakaan di Menara Tianjin, China.

China Daily melaporkan kucing itu melakukan tugas itu bagi menemani individu kesepian akibat penularan pandemik Covid-19 di negara itu.

"Pada 24 Ogos depan, kucing ini secara rasmi akan menjalankan tugas mereka di Perpustakaan Western Shore yang terdapat ribuan buku," kata pengurus perpustakaan itu, Wang Yuyan.

Kucing dengan pelbagai baka seperti Ragdoll, Exotic Short-Hair dan Chinchilla berusia sekitar setahun itu diharap akan menghiburkan pengunjung dengan keletah mereka.

Perpustakaan itu menarik perhatian ramai apabila menjadi perpustakaan tertinggi di Tianjin iaitu pada ketinggian 257 meter (m).

Ia dibuka pertama kali pada 18 Januari lalu, tetapi ditutup tidak lama kemudian akibat penularan Covid-19.

Kini, perpustakaan itu kembali dibuka sebagai antara tarikan kepada pengunjung ke menara telekomunikasi setinggi 415m.

Kemudahan itu adalah sebahagian daripada projek khas untuk menggalakkan penduduk tempatan membaca lebih banyak buku.

Projek itu sangat terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan kerana menawarkan peminjaman buku secara percuma.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 7:45am
d