Asia

Marah isteri, anak dibunuh

Oleh Agensi

Palembang: Berang dengan isteri, seorang lelaki di Sumatera tergamak memukul anaknya yang baru berusia 40 hari sehingga mati.

Kompas.com melaporkan, insiden yang berlaku di Lampung itu bermula apabila wanita itu menegur lelaki terbabit mencium bayinya sambil merokok.

Wanita itu kemudian ke dapur untuk memasak sebelum terdengar suara tangisan bayi.

Dia kemudian pergi ke arah bayinya sebelum terperanjat melihat suaminya sedang mencekik anak itu.

Kejadian itu tidak terhenti di situ.

Pertelingkahan pasangan itu berlanjutan apabila wanita itu menolak pelawaan suaminya untuk 'bersama' atas alasan masih dalam pantang.

Berang dengan alasan isterinya, lelaki itu bertindak ganas dan mengamuk sambil memukul bayinya.

Wanita terbabit berusaha pelbagai cara bagi melindungi anaknya.

Bagaimanapun, pukulan lelaki itu mengenai belakang kepala bayi itu.

Akibatnya, bayi itu meninggal dunia.

Ketua Polis Way Kanan, Bisar Manurung mengesahkan, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Blambangan Umpu untuk proses bedah siasat.

Katanya, susulan kejadian, suspek berusia 20 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Dia juga berdepan tuduhan di bawah akta perlindungan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman maksimum 15 tahun penjara.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 7:15am
d