Asia

Rambut pun dia makan

Oleh Agensi

New Delhi: Seorang remaja perempuan di India mempunyai tabiat pelik apabila gemar mengunyah dan menelan rambutnya sejak beberapa tahun lalu.

Perkara itu terbongkar selepas doktor merawatnya mendapati sesuatu yang aneh iaitu terdapat gulungan rambut di dalam perutnya.

Sweety Kumari, 17, menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di daerah Bokaro, Jharkhand, penghujung bulan lalu.

Dalam pembedahan selama enam jam itu, doktor berjaya membuang tujuh kilogram (kg) rambut dari dalam perutnya.

Memetik laporan Daily Star, doktor yang mengetuai pembedahan GN Sahu berkata, ia adalah kali pertama dia berdepan dengan kes seperti itu selepas bertugas selama 40 tahun.

Pada awalnya, doktor mengesyaki remaja itu menghidapi ketumbuhan berdasarkan pemeriksaan pertama menggunakan kaedah ultrabunyi.

Doktor kemudian berasa curiga selepas mendapat tahu remaja terbabit mempunyai tabiat aneh iaitu gemar menelan rambut.

Hanya selepas pemeriksaan lanjut, doktor mendapati ada gumpalan rambut di dalam perut Kumari.

Dalam pada itu, media melaporkan keadaan itu dikenali sebagai Sindrom Rapunzel adalah antara masalah kesihatan yang amat jarang di dunia.

Menurut Jurnal Perubatan Britain, terdapat kira-kira 90 kes seumpama itu di seluruh dunia pada 2018.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 7:59am
d