Asia

Perdaya duda untuk kaya

Oleh Agensi

New Delhi: Seorang wanita di India mengambil jalan mudah untuk mengumpul kekayaan dengan cara berkahwin dengan lelaki tua.

Modus operandinya adalah tinggal bersama dengan suami untuk tempoh tertentu sebelum melarikan diri bersama wang dan barangan berharga milik mangsa.

Sejak 10 tahun lalu, wanita dikenali dengan nama Monica itu juga dipercayai sudah berkahwin dengan lapan lelaki.

Bagaimanapun, helahnya terbongkar selepas melarikan diri dari rumah suami yang dikahwini pada Ogos tahun lalu.

Gulf News yang memetik laporan media tempatan melaporkan pada kejadian terbaharu itu, mangsa kontraktor pembinaan di Uttar Pradesh.

Difahamkan, lelaki yang berstatus duda itu berasa kesepian selepas kematian isterinya.

Dia kemudian terlihat iklan agensi pencari jodoh, Khanna Vivah Kendra di sebuah akhbar.

Agensi berkenaan menawarkan khidmat mencari pasangan untuk warga emas dan ibu tunggal.

Tertarik dengan iklan berkenaan, lelaki terbabit menghubungi agensi itu sebelum diperkenalkan dengan Monica.

Ketika itu, wanita itu mendakwa dirinya berstatus janda.

Selepas berkenalan, lelaki itu melamar Monica dan mereka mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, Monica secara tiba-tiba melarikan diri dari rumahnya.

Pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu turut mengambil barangan peribadi milik lelaki itu bernilai 15 lakh Rupee (kira-kira RM8,491).

Menyedari dirinya tertipu, lelaki terbabit menghubungi agensi berkenaan.

Namun, pemilik agensi itu mendakwa individu berkenaan cuba membuat dakwaan palsu.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 7:10am
d