Asia

Tuah sunting gambar

Oleh Agensi

Jakarta: Seorang lelaki Indonesia tidak menyangka penyertaannya dalam satu pertandingan fotografi membawa tuah apabila ditawarkan kontrak AS$6,000 (kira-kira RM25,171) oleh Adobe Inc.

Ia selepas syarikat perisian berkenaan tertarik dengan suntingan gambar yang diambil oleh lelaki itu.

Kisah itu dikongsikan Kevin Pramudya Utama, 23, menerusi akaun Twitter miliknya, Khamis lalu

Portal Kompas melaporkan pemuda itu pada awalnya tidak menjangka akan menerima tawaran berkenaan.

Ia berikutan penganjur Adobe Inc dan Perbadanan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) awal-awal lagi menyatakan bahawa pertandingan itu tidak menawarkan sebarang hadiah.

Namun, dia tetap mengambil bahagian tanpa memikirkan langsung mengenai soal kemenangan sebaliknya berharap dapat menimba pengalaman bersaing dengan jurugambar profesional di peringkat antarabangsa.

"Terdapat dua kategori utama iaitu kategori pertama, suntingan gambar disediakan oleh Adobe dan kategori kedua, suntingan foto sendiri tetapi syaratnya ia (gambar) mestilah) diambil di Jepun.

"Saya ambil bahagian dalam kategori suntingan gambar peribadi. Ramai jurugambar profesional turut serta tetapi tidak sangka, dua gambar saya terpilih memenangi dua kategori," katanya.

Menurut Kevin, sembilan hari selepas pengumuman pemenang, dia menerima e-mel daripada pengurus produk Adobe dan menawarkannya terbabit dalam projek syarikat berkenaan dengan bayaran lumayan.

"Kemenangan ini tidak diduga kerana saya hanya mempelajari teknik mengambil gambar dan suntingan dengan menonton YouTube saja.

"Malah, hasil kerja saya dulu pernah diejek dan diperlekehkan tetapi tidak putus asa walaupun ada yang menganggap saya suka berangan," katanya

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 3:45pm
d