Asia

Lelaki curang tipu isteri kononnya dijangkiti Covid-19

Oleh Agensi

Mumbai: Selepas melakukan pencarian selama tiga bulan akhirnya membongkar rahsia kehilangan seorang lelaki di Mumbai yang sanggup menipu isteri kononnya dijangkiti Covid-19 untuk bersama kekasihnya.

Portal Gulf News melaporkan, pada 24 Jun lalu lelaki dikenali sebagai Manish Mishra, bekerja di Mumbai menelefon isterinya mengatakan dia didapati positif virus itu dan kemungkinan akan mati sebelum mematikan telefonnya.

Selepas itu dia tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarganya cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal.

Keesokannya keluarga wanita itu membuat laporan kehilangan lelaki terbabit di balai polis berhampiran.

Bercakap kepada media India, polis yang menerima laporan itu kemudian membentuk pasukan khas untuk mencari Mishra.

Mereka mengesan telefonnya dan menemui lokasi terakhir di mana dia berada sebelum mematikan telefonnya.

"Pasukan kami ke tempat berkenaan dan menemui motosikal dan kunci, beg galas yang dibawa ke tempat kerja dan topi keledarnya," kata seorang pegawai.

Untuk memastikan itu bukan kes bunuh diri, polis memeriksa sebuah anak sungai berhampiran dengan bantuan nelayan tempatan tetapi tidak menemui mayatnya.

"Kami yakin dia masih hidup, jadi kami terus mencari," tambah pegawai itu.

Penyiasat kemudian mula melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar dan mengedar gambarnya ke jabatan polis negeri lain di India.

Akhirnya, rakaman CCTV menunjukkan Mishra dalam perjalanan menaiki kereta bersama seorang wanita.

Siasatan lanjut mendapati, Mishra berada di Madhya Pradesh dan tinggal di Indore bersama wanita itu.

Pegawai polis itu dipetik berkata, lelaki itu sanggup menipu dijangkiti Covid-19 semata-mata mahu bersama kekasihnya di Indore.

Polis kemudian ke Indore dan membawa pulang lelaki itu ke Mumbai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 1:55pm
    d