Asia

Jong Un mohon maaf

Oleh AFP

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dilaporkan memohon maaf atas insiden pembunuhan seorang warga Korea Selatan, minggu lalu.

Pejabat Presiden Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, Jong Un menerusi satu surat menyifatkan kejadian itu sebagai amat memalukan.

Permohonan maaf daripada Korea Utara, terutamanya daripada Jong Un sendiri, amat jarang berlaku.

Ia dibuat ketika hubungan kedua negara semakin dingin dan rundingan perjanjian nuklear antara Pyongyang dan Washington kini tergendala.

Penganalisis berkata, Korea Utara dipercayai cuba berbaik negara jirannya itu susulan insiden berkenaan.

Ia adalah kejadian pertama membabitkan tentera Korea Utara menembak mati warga Korea Selatan.

Dalam kejadian berkenaan, pegawai kementerian perikanan Korea Selatan itu ditembak mati oleh tentera Korea Utara, pada Selasa.

Seoul mendakwa Korea Utara membakar jasad mangsa di laut sebagai langkah pencegahan untuk mengelak penularan Covid-19.

"Kim dilaporkan berkata beliau amat kesal dengan insiden berkenaan dan sudah mengecewakan Presiden Moon dan rakyat Korea Selatan berbanding membantu mereka dalam menghadapi Covid-19," kata Penasihat Keselamatan Kebangsaan Korea Selatan, Suh Hoon.

Suh membaca surat daripada jabatan kerajaan Korea Utara yang bertanggungjawab mengenai hubungan dengan Korea Selatan.

Menerusi surat itu, Pyongyang didakwa mengakui melepaskan tembakan sebanyak 10 kali terhadap mangsa, yang didakwa 'menceroboh ke perairan negara kita' dan gagal memperkenalkan dirinya.

Susulan itu, pengawal pantai terpaksa menembak mangsa.

Bagaimanapun, tiada pengesahan daripada Korea Utara berhubung surat berkenaan.

Selain itu, insiden berkenaan sama sekali tidak dilaporkan menerusi media rasmi negara itu.

Dalam pada itu, Korea Selatan mendesak negara jirannya itu supaya melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden berkenaan.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 2:16pm
d