Asia

Karbon monoksida bocor dalam lombong

Oleh AFP

Beijing: Tujuh belas pekerja terperangkap di dalam terowong bawah tanah di sebuah lombong arang di China, selepas kebocoran gas karbon monoksida.

Menurut pihak berkuasa tempatan, penghantar (conveyer) di dalam lombong di luar Chongqing itu, terbakar pada awal pagi.

Agensi berita rasmi negara itu, Xinhua melaporkan bahawa ia menyebabkan kebocoran gas karbon monoksida ke dalam terowong berkenaan.

Lebih daripada 100 petugas perubatan dan pasukan penyelamat sudah berada di lokasi berkenaan bagi membantu kerja mencari dan menyelamat.

Ketika ini, pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian.

Lombong berkenaan dimiliki oleh firma tenaga kerajaan, Chongqing Energy.

Insiden di lombong adalah sesuatu yang biasa di China, negara di mana tahap keselamatannya rendah dan peraturan jarang dikuatkuasakan.

Disember tahun lalu, 14 pelombong mati dalam letupan gas dan arang batu di sebuah lombong di wilayah Guizhou, barat daya negara itu

Pada Disember 2018, tujuh pelombong terbunuh di Chongqing dalam kejadian kemalangan di lombong.

Pada Oktober tahun sama, 21 pelombong di timur wilayah Shandong maut akibat terperangkap selepas bongkah batu jatuh dan menutup laluan masuk ke dalam terowong.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 12:13pm
d